Pages

Tuesday, April 24, 2012

ESQ: Panel Syariah dilantik pantau latihan


KUALA LUMPUR – Panel Syariah ESQ yang diberikan mandat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam bertanggungjawab memantau sepenuhnya dan memutuskan bahawa kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia.
Semua latihan dan modul yang dijalankan di negara ini oleh ESQ Leadership Center Sdn Bhd menepati keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 16 Jun 2010.
Pengerusi Panel Syariahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, pelaksanaan latihan ESQ selari dan selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin bahawa tidak ada apa-apa yang diragukan.

“Panel Syariah ESQ yang dianggotai lima orang bersepakat, setakat ini tidak ada apa yang meragukan dari segi syariah dan akidah yang boleh membawa kesesatan dan sebagainya.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, latihan ESQ telah diadakan sebanyak enam kali dan ia dipantau oleh Panel Syariah ESQ.

“Mereka menjalankan latihan dengan berpegang kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Setakat ini, tidak ada lagi fatwa yang dikeluarkan menghalang dan melarang latihan tersebut. Kita menyerahkan laporan kepada Jawatankuasa semuanya dan membentangkan hasil pemantauan tersebut di Mesyuarat Muzakarah yang diadakan di Melaka pada 17 Disember 2010,” katanya.

Mustafa berkata, Panel Syariah ESQ juga mengadakan 29 sesi mesyuarat untuk membincangkan modul dan latihan ESQ dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan.
Pemantauan latihan ESQ dilakukan secara berterusan dan semua penyesuaian diperlukan dengan nasihat dan bimbingan dari barisan Panel Syariah ESQ iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman; bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talip, mantan Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot, Mantan Mufti Kedah dan Ketua Hakim Kedah, Datuk Setia Jaya Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim dan Dekan Fakulti Pengajian al Quran dan As Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Adnan Mohamed Yusoff.

INFO
Panel Syariah ESQ
- Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman
- Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talip
- Bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot.
- Bekas Mufti Kedah dan Ketua Hakim Kedah, Datuk Setia Jaya Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim.
- Dekan Fakulti Pengajian al-Quran dan As Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Adnan Mohamed Yusoff.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...