Pages

Tuesday, May 15, 2012

Suami isteri curi kabel di Sik dicekup

BUKIT KAYU HITAM — Polis menahan sepasang suami isteri, manakala dua lagi rakan mereka melarikan diri ketika melakukan serbuan semasa kesemua suspek sedang membakar penyalut kabel curi di kawasan kebun getah di kampung Danglau, Sik, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam serbuan kira-kira 3.30 petang itu, lelaki berusia 35 itu turut mengalami kecederaan di perut akibat terkena tembakan dilepaskan polis ketika kereta yang dipandu suspek cuba merempuh kenderaan polis yang menghalang laluan.

"Empat suspek cuba melarikan diri dengan dua buah kereta dan kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu cuba merempuh MPV polis, manakala sebuah lagi kereta sempat melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi, manakala sebuah lagi kereta kita sedang kesan pemiliknya,” kata Ahmad kepada pemberita selepas majlis Serah Menyerah Operasi Wawasan di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, di sini hari ini.

Ahmad berkata isteri suspek yang berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu manakala suspek kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ahmad berkata identiti dua suspek yang melarikan diri juga telah dikenal pasti dan polis sedang memburu mereka. — BERNAMA

Sumber: Kosmo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...