Kemenangan Sebenar Ialah Di sisi Allah SWT
Apa  sahaja perlawanan yang berlaku pastinya ada yang kalah dan ada yang  menang. Di dalam pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau 6 Mac yang  lepas, PAS telah gagal untuk merebut kedua-dua kerusi tersebut daripada  UMNO. Saya akur dengan kekalahan tersebut. Di mana-mana perlawanan  sekalipun, pihak yang menang berhak untuk gembira dan pihak yang kalah  berhak untuk kecewa dan bersedih. Tinggal lagi, berapa lamakah  kegembiraan dan kekecewaan itu akan bertahan?
 
Sesiapa  sahaja akan gembira jika menang. Seorang pelajar akan gembira jika  mendapat keputusan yang cemerlang begitu juga seorang pencuri akan  gembira jika berjaya melakukan jenayah mencuri harta benda orang lain  hatta jika dapat membunuh mangsanya, itu lebih menggembirakan. Bahkan  Allah SWT merakamkan bagaimana gembiranya orang-orang musyrikin yang  memusuhi agamaNya ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :
وَإِذَا انقَلَبُواْ إِلَى أَهْلِهِمُ انقَلَبُواْ فَكِهِينَ ﴿٣١﴾
Yang bermaksud : Dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada pengikutnya, mereka kembali dengan gembira. – Surah al-Muthaffifin, ayat 31.
 
Demikianlah  kegembiraan yang dinikmati oleh orang-orang yang berdosa ketika berada  di dunia. Dan dukacita kegembiraan itu tidak sedikitpun menyelamatkan  mereka apabila berada di akhirat kelak. Bahkan kegembiraan itu akan  ditukar menjadi kehinaan yang amat dahsyat di hadapan Allah SWT.
 
Salahkah  bergembira? Jawabnya tidak salah. Sesiapa yang diberikan nikmat oleh  Allah SWT berhak untuk bergembira dan begitu juga sebaliknya. Namun  kegembiraan dan kesedihan di dunia bukanlah suatu yang hakiki di sisi  Allah SWT. Bahkan beleklah sejarah perjuangan Rasulullah SAW, di Mekah  baginda ditolak selama 13 tahun sekalipun sebelum dilantik menjadi nabi,  baginda diiktiraf sebagai seorang yang jujur (al-Amin). Sedih pilu  perjuangan yang dilalui oleh baginda tercermin melalui doanya sewaktu  kembali dari Thaif :
اللهم انى اشكو اليك ضعف قوتى و قلة حيلتى و هوانى على الناس انت رب المستضعفين
Yang bermaksud : Ya  Allah, aku mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatan aku, dan betapa  kurangnya kepandaian aku berhujah, dan betapa hinanya aku pada pandangan  mata manusia, Engkaulah Tuhan golongan yang ditindas.
 
Doa  ini tidak akan diungkapkan oleh lidah suci baginda kecuali dalam  keadaan baginda dirundung kesedihan dan kekecewaan. Jika sedih dan  kecewa pun pernah melanda Rasulullah SAW, apatah lagi pendokong Islam  pada hari ini. Sesungguhnya pada kekalahan, kesedihan dan kekecewaan  inilah tersimpannya ganjaran yang besar yang disediakan oleh Allah SWT.
 
Apa yang penting, asas hidup ialah Islam. Menang atau kalah tidak menjadi ukuran. Lihatlah penulis buku The Satanic Verse, Salman Rushdie yang diberikan gelaran terhormat oleh Barat sebagai Sir,  sedangkan penghormatan itu diberikan kerana tindakannya mengina Islam.  Adakah bernilai gelaran itu di sisi Allah? Jawabnya tidak. Demikian juga  kemenangan, jika diperolehi dengan cara khianat, langsung tidak  bernilai di sisi Allah SWT.
 
Di  Kerdau dan Merlimau, PAS telah kalah. Ia perlu diakui. Namun, penipuan  dan fitnah serta penggunaan jentera kerajaan secara besar-besaran juga  perlu diakui telah dilakukan oleh UMNO. Saya diserang bertubi-tubi tanpa  diberikan peluang yang sama untuk membela diri. Kalau di dalam akhbar,  serangan ke atas saya diletakkan di muka hadapan manakala jawapan saya  disudutkan di hujung muka surat dalam. Pengarah pilihanraya kami di  Kerdau, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dituduh membeli tanah dari peneroka  Felda sedangkan tuduhan itu merupakan satu fitnah, dan ia ternafi  sebelumpun tenggelamnya matahari pada hari yang sama. Adakah penafian  itu disiarkan sebagaimana fitnah itu disiarkan? Jawabnya tidak. Atas  nama kebebasan demokrasi pincang, itulah senjata yang ada pada UMNO pada  hari ini.
 
Utusan  Malaysia hari ini (8 Mac 2011)  melalui Senyum Kambingnya melabelkan  saya tidak dapat menerima kekalahan.  Sebagaimana namanya, demikianlah  tahap pemikirannya. Saya hanya mahu menyatakan ayat yang telah  diungkapkan oleh tukang-tukang sihir Firaun yang beriman kepada Nabi  Musa tatkala diancam bunuh oleh Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
Yang bermaksud : Maka buatlah keputusan apa yang hendak kamu putuskan. Sesungguhnya kamu hanya akan dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini saja. – Surah Thaha, 72.
 
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
3 Rabiul Akhir 1432H bersamaan 8 Mac 2011M
-penulis ialah Menteri Besar Kelantan Darul Naim.