Pages

Monday, July 4, 2011

Perutusan Isra' dan Mikraj


Isra' dan Mikraj adalah mukjizat yang menghubungkan alam yang ghaib dengan alam yang nyata. Dalam peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah diperjalankan daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan seterusnya naik bertemu dengan Allah s.w.t. untuk menerima kefardhuan sembahyang. Baginda diperjalankan untuk diperlihatkan kepadanya kekuasaan Allah yang menciptakan alam yang nyata ini dan juga alam yang ghaib. Ia adalah sebagai suatu hiburan untuk baginda yang berada dalam kesedihan kerana penolakan kaumnya terhadap dakwah baginda. Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan, tekanan dan penyeksaan, perjalanan tersebut telah mengubati hati baginda apatah lagi bertemu dengan para Nabi dan Rasul yang  terdahulu yang memikul amanah menyampaikan agama Allah.

Sebagai pendokong agama Allah, saya menyeru agar peristiwa Isra' dan Mikraj ini dijadikan sebagai pengajaran dan iktibar dalam melaksanakan tanggungjawab menyampaikan Islam kepada masyarakat. Rintangan dan tekanan yang dihadapi seharusnya mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah yang Maha Perkasa. Sehebat mana pun kekuatan lawan, kekuatan Allah mengatasi segala-galanya.

Sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah dalam peristiwa ini seharusnya menjadi mikraj para pejuang agama untuk 'naik' bertemu dengan Yang Maha Kuasa memohon pertolongan daripadaNya. Hanya kepadaNya sahaja kita berharap dan memohon bantuan. Mendekatkan diri kepada Allah menjadi syarat utama untuk mencapai kemenangan.

Dengan semangat Isra' dan Mikraj ini juga, saya menyeru agar  rakyat tidak gentar untuk turun beramai-ramai bagi menjayakan himpunan BERSIH yang akan diadakan pada 9 Julai nanti. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang rakyat daripada  menjayakannya, ia tidak seharusnya melunturkan semangat kita untuk menegakkan keadilan di atas muka bumi ini. Ugutan, tangkapan, tuduhan dan lain-lain adalah lumrah dalam perjuangan yang turut dihadapi oleh Rasulullah s.a.w.

Jadikanlah peristiwa Isra' dan Mikraj ini sebagai sumber inspirasi kepada kita untuk meneruskan perjuangan dan mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah yang pastinya membantu hamba-hambaNya yang menolong agamaNya.

Perhimpunan BERSIH ini salah satu daripada cara yang dilakukan untuk mencapai cita-cita dan matlamat, tetapi itu bukan satu-satunya cara. Kemungkinan cara ini akan menghadapi kegagalan tetapi peristiwa Isra' Mikraj memaklumkan kepada kita bahawa apa jua halangan dan rintangan daripada manusia, kejayaan tetap dijanjikan oleh Allahs.w.t. Kemungkinan kalau kita tidak berjaya dalam bidang ini dengan Pakatan Rakyat iaitu dengan pertolongan manusia, maka Allah dalam Isra' Mikraj ini telah memutuskan walaupun tidak ada manusia yang akan menjaga dan memlihara Nabi dalam usahanya menyampaikan dakwah, tetapi yang sebenar, ia akan tetap dipelihara oleh Allah s.w.t Yakinlah !

Sekian Wassalam.

YB Dato' Tuan Guru Haji Harun bin Taib
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...